Persaingan antara Mick Foley dan Daniel Bryan, Dean Ambrose masih juara

Persaingan antara veteran dan anak muda, Dean Ambrose masih juara

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



Tirai acara WWE Raw semalam dibuka dengan kemunculan Pesuruhjaya acara Raw dan Smackdown, iaitu Stephanie dan Shane McMahon, di mana kedua-dua mereka akan mendedahkan Pengurus Am bagi jenama masing-masing.

Tanpa berlengah, Stephanie menjemput individu pilihan beliau iaitu tidak lain dan tidak bukan, bekas Juara WWE dan bintang Hall Of Fame WWE, Mick Foley. Ujar Steph, Foley yang mempunyai pengalaman yang luas akan membawa jenama Raw ke arah yang lebih baik.


Mengulas tentang perlantikan ini, Foley berkata yang beliau pernah merasai pengalaman bersaing dalam suasana yang amat sengit. Mengimbau semula sejarah persaingan antara WWE dan World Championship Wrestling (WCW) ketika era 1996 hingga 2000 dulu, Foley merupakan antara tonggak utama WWE dalam usaha menjatuhkan WCW dan ternyata formula itu berjaya.

Shane pula bersikap positif dengan turut sama mengucapkan tahniah atas perlantikan lagenda yang sinonim dengan watak Mankind, Cactus Jack dan Dude Love tersebut. Tanpa menidakkan kredibiliti Foley, Shane berjanji akan menyaingi pasukan Raw dengan menamakan Pengurus Am jenama Smackdown. Seseorang yang inovatif, berjaya menempa kejayaan dengan bermula dari bawah, dan lebih popular daripada Mick Foley.

Lagu tema Flight of the Valkyries bergema dan penonton bersorak kegirangan. Bekas Juara Heavyweight Dunia WWE, Daniel Bryan secara sah telah dilantik sebagai individu yang bertanggungjawab untuk mengemudi Smackdown.

Ujar Daniel, hidupnya hanyalah untuk gusti. Setelah disahkan mengalami kecederaan leher yang memaksanya untuk bersara awal daripada gusti profesional awal tahun ini, beliau tidak menyangka akan diberi kepercayaan oleh Shane untuk membawa jenama Smackdown ke puncak kegemilangan dan menewaskan Raw setiap minggu.

Mick Foley dan Daniel Bryan sekali lagi bertemu di belakang tabir dan mengucapkan tahniah sesama sendiri atas perlantikan mereka. Namun, di penghujung perbualan, kedua mereka berjanji akan bersaing dengan sengit untuk jenama masing-masing bagi memberikan yang terbaik untuk WWE Universe.

Acara Draf WWE bakal berlangsung pagi ini dan barisan penggusti WWE akan terpecah kepada dua, satu ke Raw dan satu lagu ke Smackdown. Bukan itu sahaja, enam penggusti daripada jenama pembangunan bakat NXT turut akan terlibat dalam draf ini bagi menghangatkan lagi persaingan. Anda boleh ikuti liputan khas berkenaan draf ini secara langsung di saluran WWE Network hari ini.

Dalam pada itu, perlawanan bagi merebut Kejuaraan WWE di antara penyandang juara Dean Ambrose dan Seth Rollins di kemuncak acara Raw semalam berakhir dengan kontroversi.

Perlawanan bertaraf lima bintang yang amat sengit itu bertukar suasana apabila pada satu ketika, pengadil telah terlanggar Ambrose, dan dalam keadaan separa sedar, pengadil telah membuat kiraan pin berganda ketika Ambrose dan Rollins melakukan tindanan bergulung terhadap lawan masing-masing.

Stephanie yang turut berada di tepi gelanggang tidak mahu menunggu keputusan rasmi daripada pengadil dan terus mengumumkan yang Rollins adalah juara baharu. Talipinggang kejuaraan juga dibawa pergi oleh The Architect sambil bergembira kerana berjaya merampas kejuaraan daripada Ambrose.

Setelah siaran Raw tamat ke udara, Shane dan Daniel Bryan mengajak pengadil untuk melihat semula tayangan ulangan tindanan tersebut dan mendapati bahawa perlawanan itu berakhir dengan seri. Dan secara automatik, Ambrose masih kekal sebagai Juara WWE dan terus menjadi juara untuk ke acara WWE Battleground Isnin ini bagi menentang Seth Rollins dan Roman Reigns.


Artikel Oleh: Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 17,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date


Post a Comment

1 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
  1. Amazing blog !! Keep it up very valuable information. Do visit us for Sports TV Broadcast At >>
    Live Sports For You
    US BING TV

    ReplyDelete