The Undertaker kembali sebagai American Badass

Abang Taker pun dah boleh keluarkan KWSP. Karier pun dah hujung-hujung. Persona penggali kubur tu pun macam orang dah tak berapa cuak. Jadi elok sangat lah jika beliau kembali berimejkan penunggang motosikal berkuasa tinggi macam Roy Kapilla dalam video klip Rak Ter sambil bawa orang rumah ronda-ronda waktu petang. Jemputlah baca ye. Penat saya tulis dari tengah laut ni.

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)

The Undertaker kembali sebagai American Badass?

Biarpun dunia kini sedang bergelut dengan krisis wabak Covid-19 dengan Amerika Syarikat sendiri menjadi negara di tangga pertama yang mencatatkan kes positif tertinggi wabak tersebut, namun WWE tetap setia menyajikan persembahan terbaik saban minggu dengan acara Wrestlemania yang berbaki kurang seminggu dari sekarang.

Di acara Raw minggu ini, WWE Universe sekali lagi terkesima apabila bintang lagenda WWE, The Undertaker muncul dengan persona berbeza apabila memberi amaran kepada lawannya di Wrestlemania iaitu AJ Styles.


Dalam klip berdurasi 2 minit dan 9 saat itu, The Deadman kelihatan tidak bersuara dengan imej kegelapan yang menjadi kelazimannya selama ini. Sebaliknya, bintang berusia 55 tahun itu menyampaikan amarannya dengan nada suara manusia biasa, sekaligus membayangkan yang dirinya akan kembali dengan karakter penunggang motosikal berkuasa tinggi yang pernah dibawanya sekitar awal tahun 2000 yang lalu.


Dalam ‘amanat’nya kepada AJ semalam, Taker mendakwa yang AJ sendiri yang mengheretnya untuk menjadi diri sendiri kerana mengetengahkan kehidupan peribadinya di luar watak Undertaker. The Phenomenal One pada beberapa minggu lalu dengan beraninya menyebut nama sebenar Undertaker iaitu Mark Callaway di kaca TV, termasuk memetik nama isteri Taker iaitu bekas Juara Diva WWE, Michelle McCool.


Memang menjadi pantang besar buat The Phenom apabila lawannya cuba mengaitkan hal keluarga dan peribadi dalam mana-mana sengketa. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Diamond Dallas Page yang berani-berani menjadi pengintai kepada isteri terdahulu Undertaker iaitu Sara. DDP dibenam tanpa belas kasihan menyebabkan bekas Juara Heavyweight Dunia WCW itu kurang menyinar di WWE.


Ungkapan “Try Me, I’ll Make You Famous” juga diungkapkan Taker kepada AJ di Raw semalam. Ia merupakan slogan utama yang digunapakai Taker ketika gimik penunggang motosikal berkuasa tinggi dan beberapa nama besar seperti Triple H, Rikishi, Stone Cold Steve Austin, Kurt Angle dan ramai lagi berjaya memasyhurkan diri masing-masing hasil ‘ehsan’ The Undertaker.


Mengimbau kembali karakter American Badass ini, Undertaker mengejutkan para peminat gusti seluruh dunia apabila buat julung kalinya, beliau tidak lagi mengenakan busana serba hitam dan berjalan dengan perlahan ibarat mayat hidup apabila membantu The Rock menyelesaikan pakatan De Generation X pimpinan Triple H dalam perlawanan Lelaki Waja di acara WWE Judgment Day pada tahun 2000.


Karakter tersebut nyata memberi keselesaan kepada The Deadman apabila beliau kekal memegang status quo sebagai abang besar di WWE ketika itu dan menggondol Kejuaraan WWE daripada Hulk Hogan pada tahun 2002. Namun Taker kembali ke alam kegelapan di acara Wrestlemania XX pada April 2004 setelah ditanam hidup-hidup oleh adiknya Kane ketika perlawanan gimik tersebut di acara WWE Survivor Series tahun sebelumnya.


Pertukaran kembali gimik Undertaker ini mungkin telah dijangka sesetengah penganalisis. Ini susulan penampilan Undertaker dalam rancangan temubual Broken Skull Session bersama Stone Cold Steve Austin pada akhir tahun lalu. Betapa seluruh WWE Universe terpempan kerana Taker muncul dalam rancangan tersebut dengan keluar daripada karakternya selama ini. Tiada suara parau, mudah tersenyum dan berpewatakan seperti sahabat dalam kawasan kejiranan.


AJ perlu berwaspada dan bersiap siaga sekiranya benar Undertaker akan kembali kepada karakter American Badass. Kerana dengan persona ini, Taker bukan lagi seorang manusia robot yang dikawal pergerakannya, malah boleh bertukar kepada seorang kaki pukul yang langsung tidak mengenal belas kasihan kepada lawannya.


Undertaker dijadualkan akan menentang AJ Styles di acara WWE Wrestlemania 36 yang bakal berlangsung pada 5 dan 6 April ini dalam perlawanan khas yang diberi nama Boneyard Match. WWE Universe pastinya ternanti-nanti bagaimanakan corak perlawanan ini akan dilaksanakan kerana ia berlangsung buat pertama kalinya dalam sejarah WWE.

Mungkinkah ia menyamai perlawanan Buried Alive yang pernah disertai Taker beberapa kali sebelum ini? Atau perlawanan tanpa sebarang undang-undang di kawasan perkuburan? Semuanya akan terjawab di acara Wrestlemania 36 yang bakal dipancarkan secara langsung hujung minggu ini.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Wrestlemania  pada 5 dan 6 April ini serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.


Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.