Big Show umum persaraan WWE

Perlawanan Big Show dengan Shaquille O' Neal berkemungkinan perlawanan terakhir dalam karier lagenda beliau.

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)

Big Show umum persaraan WWE

Bintang veteran WWE, Big Show mengumumkan yang beliau mungkin akan bersara daripada gusti profesional pada tahun hadapan.

Big Show satu-satunya penggusti WWE yang pernah memegang Kejuaraan Utama dari 3 promotion yang berbeza WCW/WWE/ECW iaitu Kejuaraan Dunia ECW, Kejuaraan WWF/WWE, Kejuaraan Heavyweight Dunia & juga Kejuaraan WCW.

Dalam satu temubual bersama Sports Talk di Florida pada Khamis, bintang gergasi berusia 44 tahun itu mendedahkan yang beliau kini sedang giat menjalani latihan untuk bertarung bersama lagenda bola keranjang Shaquille O’ Neal di acara Wrestlemania tahun hadapan. Dan sebaik sahaja perlawanan tersebut selesai kelak, beliau mungkin akan menggantung but bersaiz 13 nya itu dan bersara. Jika ia menjadi kenyataan, tahun ini merupakan tahun terakhir beliau akan bersama WWE.


Walaupun umurnya kini telah menjangkau suku setengah abad, namun Show atau nama sebenarnya Paul Wight menegaskan yang kesihatan dan tahap kecergasannya masih lagi seperti sepuluh tahun lalu. Namun, ia bukannya lesen untuknya mengambil mudah cabaran daripada Shaq, malah akan memastikan kondisi kecerdasan dan kecergasannya di tahap terbaik bagi menghadapi gergasi bola keranjang tersebut di sambutan ke 33 acara Wrestlemania yang bakal berlangsung di Miami nanti.

Sebelum ini, Big Show pernah memberi bayangan yang beliau akan memperlahankan kariernya dan tidak lagi aktif seperti sebelum ini. Komen terbarunya ini telah mengesahkan yang beliau akan bersara dan industri ini bakal merindui atlit terbesar dunia ini kelak.


Dengan ketinggian 7 kaki, Big Show dianggap sebagai antara penggusti terbesar dalam sejarah, dan kerap disamakan dengan bintang lagenda, mendiang Andre The Giant. Malah, beliau pernah memainkan karakter sebagai anak kepada Andre semasa awal kemunculannya di World Championship Wrestling (WCW) pada tahun 1995, yang secara kebetulan turut memulakan persengketaan pertamanya bersama Hulk Hogan yang mempunyai banyak sejarah bersama Andre.

Tampil dengan fizikal yang menggerunkan dan menggunakan nama timangan The Giant, beliau tidak perlu menunggu lama untuk mencipta impak di WCW, dengan bergelar Juara Heavyweight Dunia WCW selang beberapa bulan pasca penampilan sulungnya hasil sokongan pakatan Dungeon of Doom pimpinan Kevin Sullivan.

Agak kecewa dengan tadbir urus dan politik belakang tabir WCW, beliau berhijrah ke WWE pada awal tahun 1999, dengan muncul secara mengejut daripada bawah gelanggang semasa perlawanan sangkar besi di antara Stone Cold Steve Austin dan Vince McMahon di acara St. Valentine Massacre. Penghijrahan Big Show ke WWE dituruti beberapa bakat muda WCW yang lain antaranya seperti Chris Jericho, Dean Malenko, Eddie Guererro, Chris Benoit dan Perry Saturn yang turut ingin mencari peluang baharu selepas ditenggelamkan oleh kem New World Order di WCW.

Jumlah kejuaraan yang berjaya dikecapi Big Show sepanjang lebih 16 tahun di WWE juga boleh dibanggakan. Big Show boleh mendabik dada kerana pernah bergelar Juara WWE, Juara Heavyweight Dunia, Juara Amerika Syarikat, Juara Tempur Lasak, Juara Regu dan banyak lagi. Kesetiaannya kepada WWE menjadikan beliau antara bintang veteran yang dihormati kawan dan lawan di belakang tabir hari ini.


Big Show yang pernah hadir beberapa kali ke negara kita dalam sesi jelajah WWE, termasuk ketika acara WWE Kuala Lumpur pada 2 tahun lalu.


Beliau sekali lagi akan muncul dalam jelajah WWE Asia Tenggara pada 9 September depan di Manila, Filipina. Beliau dijadualkan akan bertemu seteru yang juga sahabat baiknya, John Cena di hadapan ribuan penonton di Mall Of Asia Arena itu nanti.

Nama Big Show mungkin kurang disebut oleh generasi peminat baharu hari ini. Namun sejarah gemilangnya sepanjang terlibat dalam industri ini, akan terus dikenang peminat yang telah mengikuti perjalanan kariernya sejak awal.

Bak kata bait-bait lirik dalam lagu temanya, “Get ready for something, that you never know…”

Jangan lepaskan peluang untuk memenangi tiket termasuk penerbangan dan penginapan ke acara WWE Live di Manila bulan hadapan. Layari Facebook Stadium Astro untuk maklumat lanjut.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 17,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.