Daniel Bryan tersinggung dengan John Cena, Bray Wyatt cedera lagi?

Ada benarnya juga kata-kata Bryan tersebut. Artikel oleh Hafiz Azwany Taher, Pengasas Peminat Gusti Malaysia
Daniel Bryan tersinggung dengan Cena, Bray Wyatt cedera lagi?

Pengurus Am Smackdown, Daniel Bryan telah menunjukkan reaksi kurang senang semasa temubual dalam rancangan Talking Smack di WWE Network semalam.

Pengurus Am Smackdown, Daniel Bryan telah menunjukkan reaksi kurang senang semasa temubual dalam rancangan Talking Smack di WWE Network semalam.

Dalam siaran pasca WWE Smackdown Live itu, Bryan telah mengulas tentang segmen pertikaman lidah antara John Cena dan AJ Styles yang berlangsung. Secara peribadi, Bryan agak tersinggung dengan apa yang dikatakan Cena terhadap AJ.

Dalam promo tersebut, Cena berkata kepada bekas Juara Heavyweight Dunia TNA dan IWGP itu, “kau boleh berambus pergi ke tempat lain jika meninggalkan WWE. Tapi tidak bagi diriku yang hanya akan bergusti untuk WWE.”

Bait-bait kata Cena itu nyata agak mengguris Bryan. Ujar bekas Juara Heavyweight Dunia WWE ini, beliau dan AJ datang dari acuan yang sama. Beliau pernah dipecat dua kali dari WWE, dan terpaksa bergusti di tempat lain. Tambahnya, AJ dan dirinya terpaksa berusaha bermati-matian untuk menempatkan diri di WWE. Jika AJ juga dipecat, perlu diingat yang penggusti itu juga mempunyai keluarga untuk ditanggung.


Tidak menafikan kecintaan dan komitmen yang telah bakal curahkan terhadap WWE selama ini, Bryan menegaskan yang adalah mudah untuk bintang seperti Cena dan The Rock menarik diri dari WWE. Mereka tidak perlu bersusah payah bergusti di tempat lain kerana mereka mempunyai kewangan yang kukuh. Beliau sendiri menghargai apa yang telah Cena lakukan di luar WWE sebelum ini dan masih punya keghairahan untuk kembali bergusti di WWE. Namun itu tidak bermakna yang bakal birasnya itu layak merendah-rendahkan AJ dengan memintanya pergi ke tempat lain dan meninggalkan WWE.

Kata-kata Bryan ini ada asasnya. Jika diimbas semula perjalanan Cena ketika mula-mula menyertai WWE, segalanya kelihatan amat mudah dan peluang keemasan terhidang di depan mata buatnya. Sebagai bekas ahli bina badan dan menyertai pusat pembangunan bakat WWE ketika itu iaitu Ohio Valley Wrestling, Cena tidak perlu menunggu lama untuk bergelar bintang di WWE. Muncul buat kali pertama pada tahun 2002, dan selang tiga tahun terus bergelar Juara WWE. Sejak itu, nama Cena terus kekal berada di puncak sehingga ramai yang melabelkan beliau adalah punca ramai bintang lain terkandas untuk menyinar kerana tersekat oleh kubu yang dibina insan bernama John Cena.



Berbeza dengan Bryan dan AJ yang perlu membuktikan mereka layak untuk ke pentas WWE dengan mencipta nama di arena selain WWE.


Walaupun AJ memulakan kerjaya dalam waktu yang hampir sama dengan Cena, namun perjalanan kerjayanya lebih berliku. Baru ingin mencipta nama di World Championship Wrestling (WCW) sekitar awal tahun 2000, syarikat tersebut gulung tikar dan terjual kepada Vince McMahon. Nama AJ turut tercicir daripada penggusti yang sepatutnya direkrut WWE dan beliau terpaksa bergusti di seluruh dunia bagi membuktikan kehebatannya. Selepas 16 tahun, barulah peluang terbuka untuknya ke WWE.

Namun penulis percaya, ucapan Cena ini hanyalah bersifat profesional dan bukan bertujuan menyerang peribadi AJ. Setelah beliau dicerca oleh AJ dalam segmen itu, Cena memerlukan satu hujah jitu untuk menangkis segala lontaran kata negatif yang dihamburkan AJ terhadapnya.


Penulis turut merasakan yang kata-kata Cena ini juga adalah pujian secara halus terhadap AJ yang telah bergelar juara di serata dunia serta berpengalaman bergusti dengan pelbagai jaguh hebat dari TNA, Ring of Honor, New Japan dan banyak lagi. Berbanding dirinya yang hanya bergelar juara di WWE. Perdebatan ini hanyalah sebagai rencah untuk menambahkan kehangatan perlawanan ulangan antara mereka di acara Summerslam kelak.

Dalam perkembangan lain, Bray Wyatt dikhuatiri mengalami kecederaan semasa acara Smackdown Live semalam.


Ketika perlawanannya dengan Dolph Ziggler, pergelangan kaki kepada lagenda gusti IRS ini telah terlipat sehingga memaksa pengadil menunjukkan isyarat “X”, menandakan kecederaan telah berlaku. Wyatt kelihatan kecewa dengan insiden ini dan tidak mahu dibantu oleh pegawai perubatan bertugas. Walau bagaimanapun, beliau berjaya menyudahkan perlawanannya dengan Ziggler walaupun jelas kelihatan yang buku lalinya itu merencatkan pergerakan dan mengganggu kelancaran perlawanan.

Wyatt mempunyai sejarah kecederaan pergelangan kaki tahun lalu sebelum terlibat dengan perlawanan menentang Undertaker di acara Wrestlemania. Perlawanan tersebut nyaris dibatalkan susulan kecederaan tersebut, namun Wyatt masih tampil beraksi cemerlang walaupun tewas dalam perlawanan itu.

Saksikan WWE Smackdown Live jam 10.00 malam setiap Jumaat di Astro Supersport 3 saluran 816/834.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 17,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.